TaufikBatisah.net
Your Official Source For Everything Taufik

News Articles > Jan - Apr 2008

ANUGERAH PLANET MUZIK 2008 - Faizal 'merdeka'
By Hanim Mohd Saleh
Berita Harian Singapura
22 April 2008

DARI KUALA LUMPUR - MEMANG tepat Anugerah Planet Muzik (APM) kelapan diadakan di Kuala Lumpur tahun ini kerana sememangnya artis-artis Malaysia menguasai kemenangan tahun ini - tujuh daripada 12 kategori serantau dimenangi penyanyi atau kumpulan negara jiran itu.

Paling menarik, artis yang baru seminggu menamatkan 'penggantungan' daripada sebarang persembahan kerana insiden mendedah dada semasa menyanyi di kaca TV Malaysia, Faizal Tahir, menyambut 'kemerdekaannya' dengan menjulang dua kemenangan - Artis Baru Lelaki Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular - mengalahkan calon kuat senegaranya, Mawi.

Apakah ini petanda populariti Mawi semakin menurun sejak mengisytiharkan perhubungan cintanya dengan pelakon Ikin?

Faizal, ketika ditemui, berkata beliau begitu berdebar-debar kerana APM merupakan kemunculan sulungnya di pentas besar selepas lebih tiga bulan tidak dibenarkan beraksi dalam rancangan-rancangan di kaca TV.

'Saya rasa seperti penyanyi baru. Saya langsung tidak fikirkan tentang anugerah, hanya mahu memberi fokus terhadap persembahan saya kerana sudah tiga bulan tidak berhadapan penonton seramai ini,' kata Faizal, yang sempat berseloroh menyelitkan ungkapan 'jangan buka baju' semasa menyanyikan lagu popularnya, Mahakarya Cipta.

Bagaimanapun, Indonesia tetap ditabal 'raja majlis' kerana membawa pulang trofi bagi kategori terbaik utama khususnya kumpulan Gigi yang merangkul kemenangan sebagai Duo/Kumpulan Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik (Love, Peace and Respect) sementara Kris Dayanti memenangi Anugerah Artis Wanita Terbaik.

Artis Singapura hanya berpeluang menjulang trofi dalam kategori tempatan, dengan kumpulan Cradle memenangi Anugerah Album Terbaik (Ceritera Awan) dan Lagu Terbaik Singapura (Ayu) manakala Taufik Batisah merangkul Artis Terbaik Singapura selain kategori populariti

Malam penyampaian APM yang berlangsung di Dewan Konvensyen Kuala Lumpur malam kelmarin dihadiri kira-kira 3,500 penonton, dengan kira-kira 800 daripadanya merupakan penyokong dari Singapura - lebih separuh yang mengikuti rombongan kelolaan agensi pelancongan rasminya sementara yang lain datang secara persendirian.

Walaupun di negeri orang, para penyokong artis-artis tempatan begitu bersungguh-sungguh cuba menyemarakkan semangat Singapura di dalam dewan dengan membawa kain rentang sebagai tanda sokongan kepada artis-artis tempatan yang berjuang di negeri orang. Kalau APM tahun-tahun lalu riuh dengan tiga orang pengacara, kelmarin suasana terasa segar dengan kemunculan hanya seorang pembawa acara, iaitu personaliti popular Indonesia, Sarah Sechan.

Biarpun tidak berteman di atas pentas, Sarah dengan gaya biasanya cukup selamba berlawak dan mengusik artis-artis undangan termasuk terhadap penyampai undangan, Deborah Henry, Miss Malaysia Universe.

'Kalau Deborah Henry yang tinggi terpilih jadi Miss Malaysia, saya pula jadi Misteri,' seloroh Sarah.

Tidak dinafikan, persembahan yang disajikan kepada penonton pada malam itu cukup mantap dengan band 'underground' Malaysia, Meet Uncle Hussain, yang memenangi Anugerah Duo/Kumpulan Baru Terbaik, menyuntik kesegaran dengan rok progresifnya semasa membawakan lagu La La La Kerjalah, dengan suara dan muzik yang cukup unik.

Kecenderungan orang Malaysia hari ini terhadap muzik daripada kumpulan bebas atau 'indie' juga terserlah dengan kemenangan band Estranged dalam dua kategori.

Turut menghibur ialah persembahan Taufik yang cukup bertenaga, membawakan lagu Suatu Janji dengan Singapore Idol yang pertama itu begitu ligat menunjukkan kemahirannya menari.

Kalau ditanya apakah persembahan terbaik malam itu, rasanya magisnya masih dipegang diva yang telah lapan tahun tidak kalah kategori Anugerah Artis Wanita Paling Popular, Datuk Siti Nurhaliza, yang memukaukan penonton dengan tarikan suaranya yang cukup lantang apabila membawakan lagu Fantasia Bulan Madu - sempena acara penghormatan untuk penerima Anugerah Khas Planet Muzik iaitu kumpulan rok Search.

Kumpulan KRU yang dianggotai tiga beradik, Norman, Edry dan Yusry Abdul Halim, menerima Anugerah Cinta Planet Muzik bagi sumbangan mereka dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Rakaman APM 2008 akan disiarkan di Suria pada 26 April ini.


 

Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.