TaufikBatisah.net
Your Official Source For Everything Taufik

News Articles > Jan - Apr 2008

Gelombang baru APM
Oleh Zaidi Mohamad
Berita Harian Malaysia
22 April 2008

Detik manis bagi Faizal Tahir, Farah Asyikin, Anuar Zain dan band indie

TIADA peningkatan dan statik di angka lapan. Malaysia mengulangi kejayaan tahun lalu dengan mendominasi lapan kategori daripada 12 kategori utama yang dipertandingkan pada Anugerah Planet Muzik 2008 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur kelmarin.

Malaysia boleh berbangga kerana karyawan tanah air meraih empat kategori terbaik dan empat kategori popular dalam sebuah pertandingan yang menyaksikan penyertaan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Faizal Tahir meneruskan legasinya yang terhenti seketika sebelum ini gara-gara hukuman gantung yang dikenakan terhadapnya daripada muncul membuat persembahan di kaca TV pada awal Januari lalu. Faizal membolot dua kategori iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Bagi kategori Artis lelaki Paling Popular, Faizal sekali gus membenamkan hasrat Bintang Paling Popular Anugerah Berita Harian 2007, Mawi untuk terus unggul dalam kategori tunggal yang mencalonkan namanya. Manakala untuk kategori Artis Baru Terbaik, Faizal menang bergaya setelah mengetepikan saingannya Aliff Aziz, Diddy, Ihsan dan Syed Azmir.

"Saya tidak menyangka mahupun meramalkan dua kemenangan ini. Sewaktu nama calon bagi kategori Artis Lelaki Paling Popular diumumkan, saya menyebut nama Mawi. Namun nama saya yang diumumkan sebagai pemenang. Dalam setiap penganugerahan, saya percaya tiada istilah kalah dan menang. Satu bonus andai kita menang, ia menjadi pengukur hasil kerja kita selama ini dan ada pihak yang menyedari kehadiran kita. Kemenangan itu semua saya dedikasikan buat peminat dan juga pihak yang menyokong saya untuk meneruskan perjuangan dalam industri seni," tegasnya yang tidak akan lagi mengulangi kesilapan lalu.

Mawi gagal mempertahankan kategori Artis Lelaki Paling Popular sebagaimana tahun lalu. Mungkinkah ia simbolik kepada zaman 'kejatuhan' Mawi yang disebut-sebut kebelakangan ini. Di manakah penyokong setia Mawi yang selama ini begitu gah menyokongnya? Apakah peminat Mawi sudah berbelah bahagi rentetan cerita peribadi yang diumumkannya? Bukan bermaksud bersifat sinikal, namun diharap ia dapat menjadi muhasabah dan kekuatan kepada diri Mawi untuk terus melakukan yang lebih baik lagi.

Selama lapan tahun berturut-turut, Datuk Siti Nurhaliza terus unggul dalam liganya yang tersendiri apabila selesa dinobatkan sebagai Artis Wanita Paling Popular. Namun, Siti gagal mempertahankan dua kategori yang dimenanginya pada tahun lalu iaitu Lagu Terbaik dan Artis Wanita Terbaik. Kris Dayanti merampas kembali takhta Siti bagi kategori Artis Wanita Baik.

"Terima kasih kepada peminat Siti yang sangat setia menyokong. Siti akan kenang kesetiaan anda semua. Tidak lupa juga kepada keluarga, suami, rakan media dan staf Siti Nurhaliza Production," kata Siti ringkas.

Lagu Terbaik diserahkan kepada kumpulan Gigi menerusi lagu Nakal yang dipetik di dalam album Peace, Love & Respect. Gigi juga merangkul dua lagi kategori iaitu Album Terbaik dan Artis Duo/ Kumpulan Terbaik. Ingin memperbetulkan keadaan dan khabar angin yang didengari berkaitan ketidaksenangan pengkarya tempatan mengenai kebanjiran artis Indonesia, maka pentas APM 2008 menjadi landasan terbaik untuk Armand (vokalis Gigi) merungkaikan sedikit rasa.

"Alhamdulillah saya senang sekali di atas tiga kemenangan ini. Saya datang mewakili Gigi pada malam ini semata-mata untuk APM, anggota yang lain berada di Indonesia kerana kami masih sibuk dengan konsert jelajah. Saya ada mendengar khabar angin daripada teman di Malaysia, ada pihak (pemuzik) di Malaysia tidak begitu senang dengan kehadiran artis Indonesia mendominasi pasaran tempatan.

"Muzik bagi saya bersifat universal. Saya jadikan album Peace, Love & Respect sebagai penterjemahan segalanya. Kami (artis Indonesia) datang ke Malaysia untuk sama-sama berkongsi cita rasa muzik. Diimbas kembali, pada tahun 90-an pemuzik dari Malaysia seperti Search, Slam dan Exists juga pernah menempa nama di negara kami. Cuma sekarang diterbalikkan situasi, pengkarya Indonesia pula mendapat peluang sebegitu. Harap jangan dipendam dan disimpan di dalam hati, kita bersaing secara positif," kata Armand yang mewakili kumpulannya.

Hakikatnya, bukan soal sesama pengkarya sendiri yang ditimbulkan, sebaliknya mengenai sikap sesetengah pihak seperti penaja syarikat gergasi yang lebih terarah menaja persembahan artis Indonesia sedangkan artis tempatan begitu sukar mendapat tempat. Manusia bebas mendengar apa jua genre muzik, pilihan terletak kepada kita sendiri.

Kemenangan Farah Asyikin yang mendapat gelaran Artis Baru Wanita Terbaik dianggap sebagai penawar bagi dirinya yang sedang melalui episod duka dan luka gara-gara kisah rumah tangganya yang dikatakan sedikit retak. Bagaimanapun, sewaktu berucap, Farah tidak lupa menyebut nama suaminya, Dr Fariz Yahya yang turut hadir bersama keluarganya.

Anuar Zain juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila trofi Artis Lelaki Terbaik digenggam erat olehnya. Kemenangan itu cukup bermakna buat dirinya, ia menaikkan semangat dan menjadi bonus buat jejaka kacak idaman ramai itu. Katanya, yang berpaling bermakna di atas kemenangan itu ialah peminatnya yang utuh menyokongnya dari belakang.

Dua kumpulan yang asalnya memperjuangkan muzik indie iaitu Estranged dan Meet Uncle Hussain juga menjadi perhatian. Estranged diiktiraf sebagai Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi lagu hit mereka, Itu Kamu. Sementara itu, Meet Uncle Hussain gah dinobatkan sebagai Duo/ Kumpulan Baru Terbaik.

Menambah deretan kemenangan Malaysia ialah melalui dua lagi anugerah iaitu Anugerah Khas dan Anugerah Cinta Planet Muzik yang juga menjadi milik artis negara kita. Anugerah Khas diserahkan kepada kumpulan Search manakala Anugerah Cinta Planet Muzik diberikan kepada kumpulan KRU.

Masih ada ruang untuk diperbaiki

APM sudah memasuki tahun kelapan kewujudannya namun penganjurannya masih banyak lagi perlu diperbaiki. Perjalanan program dan persembahan dilihat bagaikan tidak terancang. Ia dilihat terlalu biasa namun ada juga segmen yang boleh dibanggakan.

Lima wanita jelita di Malaysia iaitu Nasha Aziz, Maya Karin, Deborah Henry (Ratu Cantik Malaysia Dunia 2007/2008), Noryn Aziz dan Erra Fazira dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan anugerah.

Persembahan artis Malaysia yang menjadi tumpuan pada malam itu ialah Faizal Tahir, Anuar Zain dan Datuk Siti Nurhaliza. Faizal Tahir bagaikan 'membalas dendam' melakukan persembahan yang cukup hebat menerusi lagu Mahakarya Cinta, ditambah pula dengan duetnya bersama kekasih Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari dalam lagu Aku & Dirimu.

Anuar Zain yang tampil berambut pendek mengalunkan lagu Bidadari sambil diiringi model dan jelitawan Malaysia seperti Tengku Azura dan Zahnita.

Vokal Siti Nurhaliza saat melantunkan lagu tributenya, Fantasia Bulan Madu kepada kumpulan Search (penerima Anugerah Khas) tidak harus dipertikaikan lagi, namun sayang mikrofon miliknya yang mengalami gangguan teknikal merencatkan sedikit momentun persembahannya.

Keadaan itu, memaksa pihak penganjur dengan kadar segera menukarkan mikrofon itu. Siti yang tampil dengan busana rona biru firus rekaan pereka muda Azura, meneruskan persembahan memukaunya disambut dengan sorakan hebat penonton.

Kolaborasi Dayang Nurfaizah, Judika dan Hady Mirza cukup mempesonakan tatkala mendendangkan seleksi lagu yang tercalon dalam kategori Lagu Terbaik. Artis lain yang turut membuat persembahan ialah Meet Uncle Hussain, Ahli Fiqir, Ihsan, Bunga Citra Lestari, Aliff Aziz, Elyana, Matta, Sofaz, Ferhad, Farah Asyikin, Mila, Taufik Batisah, Mawi dan Ajai.

Tidak dilupakan kehadiran Sarah Sechan yang menggalas tugas sebagai hos. Sarah mampu menghidupkan suasana dengan petah bicara dan lawak selambanya. Sarah dilihat meminimumkan fungsinya agar tidak dilihat keterlaluan. Sayang seribu kali sayang, dua pakaian yang dikenakannya agak kusam. Sepatutnya, Sarah harus tampil bergaya dengan pakaian yang lebih berona 'menjerit' dan nampak elegan.

Corat-coret:

* Sewaktu pendaftaran, berlaku sedikit ketegangan di antara pihak media dengan penganjur yang mempersoalkan kehadiran pihak wartawan kerana kononnya mereka hanya akan berurusan dengan bos wartawan saja. Hal ini sepatutnya tidak berlaku dalam sejarah mana-mana penganjuran penganugerahan, apabila pihak media dipersoalkan fungsi mereka. Mujurlah ada di kalangan kakitangan pihak penganjur meleraikan masalah dan segala-galanya berjalan seperti biasa biarpun ada rakan wartawan yang mula bengang.

* Setengah jam sebelum APM 2008 berlangsung, disampaikan dua anugerah untuk artis Singapura iaitu Lagu Paling Popular dan Artis Paling Popular. Seterusnya sewaktu siaran iklan juga disampaikan anugerah Lagu Terbaik, Artis Terbaik Singapura dan Album Terbaik.

* Matta yang semakin meledak dengan lagu Ketahuan sempat menghalakan mikrofon kepada Anuar Zain dan Datuk Siti Nurhaliza untuk menyanyi bersama-sama.

* Kumpulan Estranged tidak sempat mengambil trofi Lagu Paling Popular kerana difahamkan tersekat di pintu masuk dewan. Mereka sempat memohon maaf sewaktu ketiadaan mereka menerima trofi kedua, Duo/Kumpulan Paling Popular.

* Maya Karin sempat memesan mesej alam sekitar kepada penonton seperti mengurangkan penggunaan air, elektrik, menggunakan bateri caj semula dan membuang sampah di tong yang disediakan untuk tujuan kitaran semula.

* Siti Nurhaliza juga sempat menyebut trademark kakaknya, Saida yang cukup sinonim dengan 'Oke La Tu' sewaktu memulakan ucapan kemenangannya bagi kategori Artis Wanita Paling Popular.

* Pasangan bercinta, Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari sentiasa dilihat bersama sewaktu majlis post party.


 

Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.