Oleh
Lutfil Hadi
Pelajar Sekolah Menengah Fuchun


APABILA saya dan teman-teman diminta mewakili Kelab Obor untuk membuat persembahan drama Hari Raya sempena Hari Sukarelawan Fiknatic minggu lalu, debarannya dapat dirasakan.


Sungguhpun begitu, kami rasa terharu kerana dilibatkan dalam acara ini yang membuka mata kami tentang nasib malang kanak-kanak di rumah kebajikan.


Dalam masa sehari, saya dan teman-teman menyiapkan skrip drama secara spontan tentang sambutan Lebaran sebuah keluarga.


Yang menjadi daya tarikan bagi drama ini ialah wujudnya watak seorang remaja lelaki berlagak lembut seperti perempuan dengan kipasnya dikibar. Ada juga watak remaja perempuan yang berperawakan seperti tomboy.


Kami rasa lebih bersemangat apabila hadirin memberikan tepukan dan geli hati dengan gelagat si 'lembut' yang kerapkali terpelecok sewaktu berjalan. Apabila teman yang berlakon sebagai anak saya terpekik kerana marahkan ibu bapanya yang tidak dapat membelikannya baju kurung, ramai yang turut tergelak.


'Abis! Mana seluarnya? Takkan nak pakai seluar dalam?' tanya si kecil yang meragam dan merintih.


Secara keseluruhannya, Hari Sukarelawan Fiknatic dirancang dengan begitu baik.


Pengacara program, Surizah, yang selamba banyak berseloroh dan sempat juga mengusik Taufik.


Penghuni Darul Ma'wa juga tidak ketinggalan mempersembahkan tiga acara. Tarian lemah gemalai mengikut lagu Lebaran, Puji-Memuji, disajikan adik-adik yang berlatih sejak hari pertama puasa lagi. Mereka memberitahu saya, mereka berlatih selama dua jam sehari.


Ridzuan Ahmad, 14 tahun, seorang lagi penghuni Darul Ma'wa berbakat, pula memainkan beberapa lagu medley - Rhumba, Somewhere Out There dan Canon - dengan pianonya.


Kami mendapat tahu beliau pernah diundang untuk satu persembahan di Hotel Marina Mandarin. Yang uniknya, mangsa keganasan keluarga ini belajar main piano daripada mendengar dan itulah unsur terapi baginya.


Apabila ditanya tentang perasaannya membuat persembahan di depan Taufik Batisah, Ridzuan menjawab:


'Gementar pada mulanya tetapi ia hilang selepas dapat tepukan gemuruh.'


Persembahan Ridzuan disusuli segmen dikir barat oleh kumpulan Musafir Canggih. Brader-brader kita begitu bersemangat menggerakkan tangan mereka ke atas, ke tepi dan bagaikan berombak gerak tangannya. Kadangkala ada juga gerak bagaikan menggeletek diri sendiri. Isy... isy... isy... macam-macam ragam Musafir Canggih.


Ternyata hari itu memang hari yang bahagia. Melalui sesi permainan, kami sama-sama mampu mendekatkan diri kami kepada penghuni Darul Ma'wa yang sporting.


Mendengar suara merdu Taufik pula membuat hati kami terpaut. Lebih-lebih lagi apabila beliau mendendangkan lagu daripada kumpulan Ungu, Kekasih Gelapku, yang jelasnya baru dipelajari daripada mendengar radio Ria 89.7FM.


Sebagai bonus, kami masing-masing membawa pulang kek cawan Fiknatic, sijil penyertaan, poskad Lebaran Taufik Batisah dan kenangan manis bergambar secara individu bersama Taufik Batisah & The Boys.


Siapa The Boys yang dimaksudkan? Si cilik Darul Ma'wa yang ghairah membantu Taufik memanggil satu persatu sukarelawan remaja yang hadir.




Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.

 

 

PENCETUS KEGIRANGAN DI DARUL MA'WA