What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.
SERANGUP MURUKU SEMANIS LONDON ALMOND
Taufik menambah ceria Lebaran penghuni Darul Ma'wa

Oleh Liyana Nabilah Zainal, Filzah Diyana Rahman dan Nursheila Abdul Muez Pelajar Sekolah Perempuan Raffes
24 October 2008
SORAKAN dan ilai tawa kanak-kanak Rumah Kebajikan Darul Ma'wa dan para sukarelawan memenuhi segenap dewan.
Sememangnya, kanak-kanak Darul Ma'wa ini tidak ketinggalan daripada kemeriahan merasakan bahang suasana Syawal tahun ini apabila mereka didatangi tetamu yang cukup peramah dan berbakat besar, Taufik Batisah, minggu lalu.
Turut memainkan peranan besar dalam menyemarakkan Hari Sukarelawan Fiknatic (Kelab Peminat Taufik Batisah) itu tentu sekali peminat-peminat Taufik yang sepakat mengenakan baju merah serta rakan-rakan 'abang biker' atau motorcross-nya.
Kanak-kanak Darul Ma'wa dan sukarelawan ini kemudian dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menjayakan permainan-permainan seperti meneka kuih.
Gelagat adik-adik yang ligat merasa dan meneka kuih dengan mata ditutup dengan kain cukup mencuit hati!
Setelah itu, Taufik pula sibuk dengan gelagatnya semasa bermain permainan charade sehingga kumpulan-kumpulan berlumba-lumba meneka dan menyorak dengan sorakan kumpulan masing-masing yang cukup unik.
Ada kumpulan sehinggakan menamakan diri mereka Bantal Peluk Taufik!
Yang ada pula menyiapkan sorakan dengan pantun yang memberi bayangan mereka mengenakan kebaya untuk memikat hati Taufik! Sungguh kecoh sekali.
Tentunya seronok melihat Taufik membuat aksi charade di mana beliau mencengkam lengan dan pergelangan tangannya sambil mengusap-usap lembut tangannya itu sebagai 'pembayang maksud'.
Ada yang dengan selamba menjawab:
'Oh... dia sedang ambil wuduk!'
Taufik juga sempat membuai kami dengan dendangan lagu Berserah, Kekasih Gelapku dan Usah Lepaskan secara akustik.
Sememangnya, interviu kami bersama Idola Singapura pertama itu berbeza daripada pengalaman-pengalaman kami mewawancara VJ MTV, Utt, dan Idola Singapura kedua, Hady Mirza, sebelum ini.
Dengan suasana yang amat santai, kami duduk bersila di atas lantai sambil dikelilingi kanak-kanak yang ghairah dan amat manja sekali dengan Taufik.
Selain Hari Sukarelawan Fiknatic, bulan Syawal merupakan bulan yang agak sibuk bagi Taufik.

Tahun ini, Taufik terpaksa membahagikan masa antara khidmat kerahan reservist, acara amal President's Star Charity serta menyiapkan album terbarunya.
'Hari Raya pertama, Taufik sudah ada persembahan di Johor Bahru. Jadi Hari Raya tahun ini boleh dikatakan so-so lah. Dapat pergi rumah bapa... itu aje. Belum sempat ke mana-mana lagi,' jelas Taufik.
Bukan sahaja sibuk dengan komitmen sebagai seorang artis, Taufik juga harus melayani para peminat yang membanjiri rumahnya pada Hari Raya setiap tahun.
'Taufik dan ibu cuba sedaya upaya melayani peminat-peminat yang datang. Kadangkala Taufik tidak ada di rumah, jadi terpaksalah ibu yang melayani mereka seorang diri.
'Ada juga peminat kanak-kanak yang datang beraya, nakal mereka!' kata Taufik, sambil mengimbas kembali kenangan diserbu peminat.
Apa pula pengalaman beraya sewaktu Taufik masih kanak-kanak lagi?
Semestinya, perkara yang paling diminatinya dahulu ketika tibanya Aidilfitri ialah 'duit collection'!
'Tetapi pada Taufik, perkara yang paling penting ketika Hari Raya ialah apabila dapat beraya bersama keluarga dan mengeratkan lagi silaturahim.'
Walaupun ibu bapanya sudah berpisah, mereka masih meraikan Lebaran bersama-sama hampir setiap tahun.
Tentu sekali, saat-saat begini yang membuat sambutan Hari Raya lebih bermakna buat Taufik. Sambutan Lebaran juga tidak lengkap tanpa dendangan lagu-lagu serta kuih Raya.
Sebagai seorang yang bersikap soulful, Taufik lebih cenderung kepada lagu-lagu Raya yang syahdu seperti lagu dendangan Saleem dan Jamal Abdillah, Lambaian Aidilfitri.
Lagu itu dinyanyikan Taufik dan Hady dalam program Hari Raya di televisyen tahun ini.
Kesyahduan yang dirasakan itu juga dapat dilihat dalam album terbarunya yang akan dipasarkan bulan depan.
Sebanyak 80 peratus daripada kandungan album ini merupakan ilham dan gubahan Taufik sendiri.
'Pada pendapat Taufik, album ini merupakan antara album Taufik yang terbaik,' katanya, sambil mengukir senyuman bangga.
Pernahkah Taufik bercadang menghasilkan album koleksi Raya?
'Mungkin! Sebenarnya, saya bercadang memasukkan satu lagu Raya dalam album yang akan datang. Cuma, feeling-nya belum betul,' ujar Taufik.
Kuih kegemaran Taufik, apa ya?
'Kuih kegemaran Taufik ialah London Almond. Tapi Taufik cerewet juga apabila memakan London Almond. Saiz badamnya mesti betul!
'Taufik pun suka muruku. Taufik rasa muruku dapat melambangkan personaliti Taufik yang sebenar.
'Pada zahirnya, Taufik mungkin kelihatan kasar atau sombong bagi sesetengah orang. Namun kalau orang dapat mengenali diri Taufik dengan lebih dekat, Taufik sebenarnya baik orangnya!' katanya, geli hati.
Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.
