What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.
Taufik Sumber Inspirasi Remaja Akan DiBeri Anugerah Belia Singapura
By Nurul Dayana Simangoon Berita Harian 2 July 2008
DARIPADA penyanyi utama sebuah kumpulan muzik 'biasa-biasa', kepada bintang pujaan ramai.
Nama Taufik Batisah kini sudah tidak asing lagi di sini mahupun di seberang Tambak, dan ini ternyata dengan deretan anugerah yang diraihnya dalam industri muzik Melayu serantau.
Kejayaan beliau dinobatkan Idola Singapura pertama empat tahun lalu kini dijadikan inspirasi kepada para belia.
Taufik bakal diberi Anugerah Belia Singapura dalam kategori seni tahun ini. Beliau juga dipercayai anak Melayu pertama meraih anugerah itu dalam peringkat perseorangan sejak 1999.
Namun, bagi Taufik, kejayaannya tidak datang bergolek.
Mengulas tentang rahsia kejayaannya itu, beliau berkata seseorang itu harus sentiasa bekerja keras dan mempunyai sikap tidak mudah berputus asa.
'Dalam hidup, bukan mudah untuk mendapatkan apa yang kita inginkan. Itulah sebabnya kita harus sentiasa gigih berusaha dan tidak bersikap mengambil mudah. Peluang terdapat di mana sahaja - terpulanglah kepada kita sama ada mahu menggunakannya dengan bijak atau tidak,' ujar beliau.
Taufik juga mengaku sejak menjadi artis, beliau sering menerima kritikan negatif, tetapi tidak membiarkannya menjejas diri beliau.
'Kritikan negatif memang lumrah kehidupan - semua orang mempunyai pendapat sendiri. Namun kita harus ingat, keputusan untuk berjaya berada di tangan kita sendiri,' ujarnya.
Walaupun Taufik mengaku rasa tertekan kerana digelar sumber motivasi dan inspirasi remaja, beliau berharap mereka akan terdorong untuk terus mengejar cita-cita.
Mengongsi nasihat bagi mereka yang ingin menjadi pemuzik, beliau berkata mereka tidak harus terlalu memberikan tumpuan untuk mengejar populariti. Ini kerana industri muzik di sini agak kecil.
'Boleh dikatakan, jika menang dalam pertandingan menyanyi sekalipun, popularitinya sekejap sahaja. Nak bertahan dalam industri muzik ini yang susah. Hendak 'kembang sayap' dan menjadi artis di Malaysia juga bukan mudah. Idola Singapura nak masuk Malaysia? Bukan senang. Itulah sebabnya kita harus terus bekerja keras dan memperbaiki diri,' ujarnya.
Taufik bakal menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan, Profesor S. Jayakumar, di Istana, Ahad ini.
Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.
