What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.
Ekstra: 23 May 2009
Penerima Royalti Terbesar
Taufik Batisah bersyukur dengan hasil kerja keras
DI SEBALIK kebimbangan artis dengan gejala cetak rompak dan trend memuat turun lagu menerusi Internet, ada berita gembira khususnya bagi mereka yang aktif menghasilkan lagu.
Menurut Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass), badan yang melindungi hak cipta lagu dan senikata tempatan, pungutan royalti bagi penerbitan lagu-lagu buatan Singapura telah meningkat.
Pada malam Anugerah Compass yang berlangsung Ahad lalu, pengarah dan ketua eksekutif Compass, Encik Edmund Lum, mendedahkan hasil pungutan royalti bagi lagu-lagu tempatan yang disiarkan untuk hiburan awam, ialah $14.3 juta tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Royalti adalah bayaran hak cipta bagi penggubah, penulis lirik serta penerbit yang terlibat dalam sesebuah lagu yang diterbitkan untuk hiburan awam, termasuk di radio, televisyen, pusat hiburan dan sebagainya.
Taufik Batisah merupakan antara penerima bayaran royalti terbesar tahun ini berdasarkan populariti lagu Usah Lepaskan yang ditulis secara bersama Imran Ajmain. Beliau telah menerima Anugerah Lagu Pop Melayu Terbaik berdasarkan kutipan royalti tertinggi bagi lagu Melayu tempatan.
Berapa besar yang beliau terima?

Beliau tidak menyatakan, tetapi khabarnya, boleh membuat beliau memenuhi impian membeli jam berjenama mewah seperti Panerai atau Bell & Ross, yang harga terendahnya bermula sekitar $8,000.
Taufik, ketika ditemui, mengakui tidak sangka menerima pungutan bagi lagu Usah Lepaskan kerana lagu popular lebih dua tahun lalu dan bukan yang terbaru.
'Mungkin pungutan royalti bagi lagu itu baru dibuat tahun lalu, sebab itulah saya dapat anugerah dalam majlis tahun ini. Apa pun saya sangat bersyukur kerana ia merupakan kerja keras saya. Doakanlah agar ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pendapatan di masa-masa akan datang,' kata Taufik.
Taufik hari ini sudah pun berada di Korea sebagai mewakili Singapura dalam acara Orkestra Muzik Tradisional Korea yang dianjurkan sempena Puncak Peringatan Asean-Korea 2009 di Jeju pada 31 Mei.
Selain konsert itu, Taufik juga akan menyanyi satu lagu sebagai persembahan di National Theatre of Korea di Seoul, pada 4 Jun.
Persembahannya akan diiringi orkestra 'live' yang menggunakan instrumental Korea.
Presiden Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus), Yusnor Ef, yang juga merupakan anggota lembaga pengarah Compass, berkata peningkatan minat terhadap bakat-bakat tempatan untuk persembahan awam telah membantu dalam pungutan royalti yang lebih tinggi sejak beberapa tahun lalu.
Turut menerima anugerah di majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Raffles City itu ialah penyanyi dan penggubah Dick Lee bagi penerima pungutan royalti tertinggi lagu Inggeris, Prison Of Love, dan Peter Lee untuk lagu Mandarin, Wo Huai Nian De, nyanyian Stephanie Sun.
Bintang Pop Cina, JJ Lin, menerima tiga anugerah bagi Artis Terbaik, Soundtrack Terbaik dan Penggubah Terbaik bagi 2008.
Bagi artis-artis tempatan, pungutan royalti merupakan satu bonus untuk jangka masa panjang, tetapi pendapatan untuk kehidupan harian tetap bergantung kepada kreativiti dan kerja keras seterusnya.
'Kalau saya dapat hasilkan banyak lagu yang popular macam M. Nasir, memang dah boleh senang hati,' seloroh Taufik lagi.
Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.
