What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.
20 Julai 2009
ANUGERAH PLANET MUZIK 2009
Artis S’pura jaya dibawa menyerantau
Majlis buka lebih banyak peluang kembangkan bakat di Indonesia

DI SEBALIK kebimbangan yang menyelubungi Jakarta gara-gara insiden pengebomanan di dua buah hotel di ibu kota Indonesia itu, majlis Anugerah Planet Muzik 2009 akhirnya benar-benar menyerantau.
Setelah lapan tahun dianjurkan, keputusan membawa APM ke Jakarta untuk pertama kali ternyata berjaya meningkatkan minat media dan masyarakat Indonesia terhadap artis-artis Singapura dan Malaysia.
Lagu-lagu Taufik Batisah dan Hady Mirza semakin kerap diputarkan, sementara Didicazli bakal merakamkan lagu, berkongsi penerbit dengan penyanyi Indonesia, Afghan.
Ia membuka lebih banyak peluang untuk artis yang terlibat mengembangkan bakat di Republik tersebut.
Dari segi produksi, APM 2009 membuktikan mengapa selama ini Indonesia mendominasi keputusan pemenang - mereka bukan setakat hebat menghasilkan lagu-lagu yang bagus, bahkan benar-benar memahami konsep menghibur dengan mengetengahkan persembahan bertahap kelas satu!
Berdasarkan persembahan artis-artis seperti Nidji, ST12, Yovie & Nuno, jelas mereka jauh meninggalkan band-band Malaysia dan Singapura.
Mereka bijak menggegarkan dewan dengan persembahan yang cukup bersemangat lagi santai.
Dengan keadaan dewan Planetary Pusat Konvensyen Jakarta (tempat APM berlangsung) dibentuk sebagai sebuah planet dengan lampu-lampu kecil bersinar di tengah-tengah latar belakang hitam pekat - yang menghasilkan suasana seperti di angkasa raya ditambah lagi dengan persembahan yang cukup mantap oleh kesemua artis tiga negara - tidak keterlaluan jika dikatakan APM 2009 merupakan antara yang terbaik berbanding dengan tahun- tahun lalu.
Bergetar dan mengagumkan.
Dari segi keputusan, Singapura masih bergantung pada kategori populariti berdasarkan undian peminat untuk merangkul trofi.
Taufik Batisah sekali lagi dinobatkan sebagai Artis Paling Popular Singapura, sementara lagu Impianku nyanyian Didicazli (hasil kolaborasi dengan Aliff Sleeq), memenangi Anugerah Lagu Paling Popular Singapura.
Siti Nurhaliza pula mempertahankan kedudukan sebagai Penyanyi Serantau Paling Popular - kejayaan yang disandangnya untuk sembilan tahun berturut-turut! Beliau turut merangkul Anugerah Penyanyi Malaysia Paling Popular.
Didicazli, ketika ditemui berkata, walaupun Singapura gagal membawa pulang sebarang trofi kategoti terbaik, beliau tetap berbangga dengan prestasi para penyanyi tempatan.
'Apa lagi yang dapat saya minta. Dah diberi peluang menyanyi dan menyampaikan hadiah. Kemenangan adalah satu hal tetapi pendedahan dalam APM yang disaksikan jutaan penonton, terutama di Indonesia, adalah peluang yang amat berharga.
'Hilang langsung kembimbangan kami di sini dengan insiden pengeboman hotel,' kata Didicazli.
APM 2009, yang dianjurkan oleh stesen Warna 94.7 FM dan Ria 87.9 FM dengan kerjasama Beyond Events Sdn Bhd dan Global TV Indonesia dimulakan dengan acara permaidani merah yang berjalan lancar, membenarkan puluhan wakil media dari Indonesia, Malayisa dan Singapura merakamkan gaya glamor artis-artis dan VIP yang hadir.
Sistem keselamatan dijaga ketat di setiap pintu masuk dengan semua tetamu diperiksa rapi dan beg perlu melalui mesin pengimbas.
Kebanyakan artis Indonesia yang hadir adalah anggota band dan penyanyi muda sedangkan wajah-wajah yang lebih popular di kalangan peminat Singapura seperti Kris Dayanti, Agnes Monica dan Rossa langsung tidak kelihatan.
Begitu juga dengan artis Malaysia. Kecuali kehadiran Siti bersama suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, dan Reshmonu, penyanyi lain yang hadir semuanya bakat baru yang dicungkil daripada program realiti seperti Akademi Fantasia seperti Aizat dan Stacy; pemenang One In A Million, Ayu; dan penyanyi 'Internet', Yuna.
Amin Husen, daripada Beyond Events, berkata apabila insiden pengeboman di Hotel Ritz Carlton dan J.W. Marriot berlaku, memang ada perbincangan untuk membatalkan majlis itu.
'Hanya setelah kami dipastikan sistem keselamatan yang rapi, barulah kami bersetuju meneruskan acara,' ujarnya.
Seorang lagi penyanyi Singapura yang mendapat pendedahan malam itu ialah penyanyi Nana, calon Persembahan Vokal Terbaik dalam Lagu.
Nana membawakan lagu ciptaan Jaliboy, Lafaz. Persembahan Nana yang cukup mantap telah mendapat sambutan hebat penonton.
'Mulanya saya bimbang kerana tak pernah menyanyi untuk konsert sebesar ini tetapi sebaik saya menyanyi, semuanya seperti sebuah magis,' kata bekas peserta Singapore Idol (top 20) musim pertama dulu.
Taufik Batisah, yang mengalami batuk- batuk teruk sepanjang berada di Jakarta selama empat hari berkata, beliau lega kerana semuanya berjalan dengan baik biarpun mulanya agak bimbang dengan insiden yang mengejutkan tidurnya pada pagi kelmarin.
Beliau melihat peluang beraksi di Jakarta sebagai pendedahan yang amat berharga, terutama jika mahu mengorak langkah mengembangkan bakatnya di sana.
'Banyak yang saya pelajari di sini. Budaya kerja dan pemahaman kita terhadap sesuatu sangat berbeza.
'Di sini, kita kena banyak bersabar dan bersikap memahami. Perlu ada azam dan keinginan yang tinggi untuk penakatan dalam dunia hiburan,' tambah Taufik lagi.

KEPUTUSAN APM 2009
1)Persembahan Vokal Terbaik dalam Lagu (Artis Baru Lelaki): Aizat bagi lagu Sampai Ke Ujung Dunia (Malaysia).
2)Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Wanita): Ayu bagi lagu Hanya Di Mercu (Malaysia).
3)Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Duo/ Kumpulan Baru Terbaik): Kotak bagi lagu Masih Cinta (Indonesia).
4)Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu: Be Te oleh Dewi/ Ipank, ciptaan Pay dan Yudi (Indonesia).
5)Artis Lelaki Terbaik: Afghan menerusi album Confession No. 1 (Indonesia).
6)Artis Wanita Terbaik: Bunga Citra Lestari menerusi album Tentang Kamu (Indonesia).
7)Duo/ Kumpulan Terbaik: Yovie & Nuno menerusi album The Special One.
8)Lagu Terbaik: Laskar Pelangi oleh Nidji.
9)Album Terbaik: Confession No. 1 oleh Afghan, terbitan Tessy DJ & Fajar PJ.
10)Artis Paling Popular Singapura: Taufik Batisah
11)Artis Paling Popular Malaysia: Siti Nurhaliza
12)Artis Paling Popular Indonesia: Yovie & Nuno
13)Lagu Paling Popular Singapura: Impianku oleh Didicazli.
14)Lagu Paling Popular Malaysia: Aizat
15)Lagu Paling Popular Indonesia: Kaka Slang.
16)Artis Serantau Paling Popular: Siti Nurhaliza.
17)Anugerah Khas Planet Muzik: Band Gigi
18)Anugerah Planet Muzik: Dik Doang (Indonesia)
Back To Newspaper Articles
Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.
