What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.
Spektra: 26 Julai 2009
‘Anugerah Planet Muzik 2009’
Artis kita masih kebelakang?
Berderet-deret sms masuk ke telefon bimbit saya sebaik-baik saja majlis penyampaian Anugerah Planet Muzik yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta minggu lalu selesai.
“APM paling boring” dan “APM terlalu keindonesiaan”. Begitulah antara luahan rasa tidak puas hati teman-teman yang hanya dapat menonton rancangan itu dari kaca televisyen di Singapura.

MEMUKAU: Afgan, pemenang kategori Artis Lelaki Terbaik menerusi album ‘Confession No.1’ sememangnya tidak saja kacak, bahkan vokalnya cukup lunak dan bertenaga.
Terus terang saya tak menjangkakan reaksi sebegitu kerana suasana di Dewan Plenary, tempat APM berlangsung, cukup meriah dan tiada detik bosan sepanjang lebih dua jam duduk menikmati persembahan yang cukup happenning daripada artis-artis Singapura, Malaysia dan terutamanya Indonesia.
Daripada acara pembukaan yang menampilkan nyanyian dan tarian kecak Bali di pelantar empat tingkat hinggalah ke persembahan band-band Indonesia seperti Nidjie, ST12 dan Yovie & Nuno, yang cukup menghibur dengan lagu-lagu mengasyikkan daripada vokal yang cukup bertenaga.
Saya yang bukan peminat band Indon pun sekarang dah mula menjadi penggemar mereka, selain si pelantun remaja yang berlesung pipit, Afgan. Suara jantannya tak padan dengan wajah comelnya!
Lantas apa yang ada pada APM 2009 sehingga saya menganggap ia lebih istimewa daripada kebanyakan lapan acara sebelum ini? Ada tiga sebab.
(1) APM PEMBUKA MATA
Kalau sebelum isu artis tempatan bagai dianaktirikan dalam acara sendiri sering dikeluhkan, kali ini saya merasakan mereka tidak wajar terus dimanjakan. Sudah tiba masanya mereka membuka mata dan fikir untuk melakukan sesuatu jika mahu terus melangkah ke arah persada hiburan peringkat serantau.
Mungkin dari segi kekuatan vokal, artis kita dapat bersaing dengan mana-mana artis seberang. Tetapi apa yang membuat mereka dilihat kerdil berbanding artis Indonesia ialah gaya persembahan atau showmanship. Band-band seperti Nidjie, ST12 dan Yovie & Nuno tahu menghidupkan setiap bait lagu dengan interaksi cukup berkesan dan amat mesra penonton. Sejurus berada di pentas, tumpuan mereka hanya satu - bagaimana menggerakkan hati nurani peminat.
Perbualan dengan band-band Indonesia di belakang tabir juga menyedarkan bahawa mereka mempunyai perjuangan yang cukup jelas dalam berseni. Mereka menjadikan bidang nyanyian yang diminati bukan untuk mengejar populariti, sebaliknya meyampaikan hasrat, pesanan-pesanan dan menggunakan suara sebagai wadah perjuangan. Dan mereka melakukannya dengan cukup selamba.
Yang penting, dalam memperbaiki showmanship, artis kita harus kuat jati diri. Perlu ada kelainan yang artis negaralain belum ada.
(2) PINTU UNTUK MENYERANTAU
Sebelum APM ke Jakarta, kita kena terima hakikat bahawa selama ini majoriti orang Indonesia, termasuk pemain utama dalam industri hiburan, masih tidak mengenali penyanyi-penyanyi popular Malaysia, apatah lagi artis Singapura biarpun acara itu sudah lapan kali dianjurkan dengan jenama ‘acara serantau’. Yang mereka kenal hanya segelintir: Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Amy Search, Slam dan Allahyarham P. Ramlee.
M. Nasir pun masih tidak dikenali ramai biarpun setiap tahun beliau naik pentas APM, sama ada sebagai penyanyi, penyampai hadiah atau penerima anugerah.
Paling tidak, nama Hady Mirza menjadi sebutan sejak beliau memenangi Asian Idol tahun lalu. Tetapi lagunya jarang diputarkan.
Deejay Global Radio, Zakki, ketika ditemui mengendalikan segman ‘live’ pada acara permaidani merah APM, berkata setahunya, tidak pernah menjadi dasar mana-mana stesen radio di Indonesia menyekat kemasukan lagu-lagu Malaysia atau Singapura di republik itu.
“Soalnya, mereka tidak ke sini. Kalau ada yang datang promosi, ya, pasti kami putarkan. Tetapi populariti lagu itu tergantung pada penggemarnya. Justeru, artis harus rajin-rajin ke Indonesia untuk acara promosi agar lagu-lagu mereka sering diminta pendengar untuk diputarkan di udara,” kata Zakki.

GABUNGAN MANTAP: Taufik dan Hady berpadu suara dalam lagu ‘Kepadanya’.
Bagaimanapun, menurutnya, sejak kempen APM di Jakarta dibuat tiga bulan lalu, lagu-lagu Taufik Batisah, Hady, Nana dan calon artis Malaysia sering diputarkan agar pendengar lebih mengenali artis yang hadir pada acara itu.
“Penerimaannya bagus. Sebaiknya, Taufik dan Hady lebih agresif dalam promosi mereka di sini agar keberadaan mereka dalam industri ini sering terasa. Mereka cowok ganteng... tak ada masalah,” jelas Zakki.
Ketika ini, artis yang memulakan langkah menggiatkan keberadaannya di sana ialah Didicazli, yang telah pun mendapatkan penerbit Indonesia untuk menghasilkan lagu terbarunya.
(3) PERLU TAHU SESUAIKAN DIRI
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang ayam berkokok. Begitulah juga dengan artis-artis tempatan atau mana-mana pemain industri yang mahu mengukuhkan keberadaan di persada serantau. Harus tahu perbezaan budaya bekerja, bahasa dan bijak menyesuaikan diri.
Seperti kata pengarah Beyond Events Sdn Bhd, Amin Hussen, yang menguruskan penerbitan APM, kesibukan artis Indonesia dengan urusan persembahan di serata tempat, memaksa pihak penerbit menyusun semula masa latihan untuk acara APM.
“Bayangkan, artis-artis Singapura dan Malaysia datang seawal dua hari sebelum pementasan dan berlatih mengikut jadual. Mereka harus bersabar menunggu lama. Tetapi artis Indonesia datang hanya setelah urusan show atau kerja studio mereka selesai. Ada yang muncul untuk latihan pada 1 pagi dan 2 pagi, ada yang muncul 8 pagi. Jadi mereka tak bertemu artis Singapura kecuali pada hari APM sendiri. Apa nak buat. Itulah budaya mereka. Yang penting, pada malam pementasan, mereka tidak mengecewakan kerana mereka sentiasa bersedia dan mempunyai keyakinan yang tinggi,’ kata Amin.
Back To Newspaper Articles
Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.
