headernewspaper
What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.

lime_bullet Taufik featured in Kosmo

Hiburan: 27 Julai 2009
Tertekan belum beristeri - Taufik Batisah dituduh playboy

"Buat masa ini saya memang tidak ada teman wanita. Betul, saya tidak sesekali berbohong kepada peminat yang selama ini menyokong tanpa henti karier saya" – TAUFIK

screen-capturewtmk

TAUFIK BATISAH kasanova! Taufik Batisah sombong! Taufik Batisah penipu! Bermacam-macam tohmahan yang dilemparkan kepada dirinya sehingga empunya diri sebelum ini pernah berasa kecewa dan terkilan.

Tidak dinafikan, pada awalnya jejaka berusia 28 tahun itu tidak mampu menyesuaikan diri dalam permainan dunia seni. Namun lama-kelamaan, Taufik mulai bijak menyusun gerak tarinya agar tidak lagi canggung di mata masyarakat.

Lantaran itu, Taufik kini enggan mengambil peduli segala tanggapan yang dilontarkan kepada diri terutama melibatkan perkara negatif apatah lagi yang tidak membina untuk perkembangan kerjaya seninya.

Asalkan dia yang bernama lengkap Muhammad Taufik Batisah, keluarga dan rakan-rakan terdekat mengetahui hakikat sebenar lalu tiada apa lagi yang perlu dikhuatirkan.

screen-capture-1wtmk

Biarlah orang lain hendak berkata tidak elok kepadanya yang bergelar seniman. Yang pasti Taufik yang dilahirkan pada 10 Disember 1981 itu harus melangkah ke depan tanpa perlu menoleh ke belakang lagi demi mencapai kejayaan dalam dunia nyanyian.

"Selepas saya diumumkan sebagai juara
Singapore Idol musim pertama pada tahun 2004, pelbagai gosip ditujukan kepada saya tanpa henti.

"Memanglah saya rasa gelisah serta terluka apabila dihampiri cerita-cerita yang tidak berasas sambil dilabelkan itu dan ini lebih-lebih lagi ia melibatkan nama baik saya dan keluarga.

"Namun selepas beberapa tahun berlalu maka saya sudah mampu membiasakan diri apabila diterjah dengan gosip lain yang mendatang.

"Saya turut mempelajari bahawa gosip ibarat sebahagian daripada asam garam yang perlu dilalui dalam kehidupan dunia selebriti.

"Justeru saya sekadar membiarkan gosip yang timbul berlalu begitu saja. Orang lain ada pendapat masing-masing lantas saya juga kena faham keadaan ini walaupun saya sendiri berasa tidak selesa.

"Lagipun bukan senang untuk kita menggembirakan hati semua pihak dalam satu-satu waktu. Lebih baik saya buat tidak tahu saja tentang gosip yang tiada kesahihannya ini," kata Taufik ketika diwawancara eksklusif bersama
Kosmo! di Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan, Indonesia baru-baru ini.

screen-capture-2wtmk

Enggan berselindung, anak kelahiran Singapura itu mengakui bahawa hatinya masih belum dimiliki disebabkan dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier terlebih dahulu.

"Buat masa ini saya memang tidak ada teman wanita. Betul, saya tidak sesekali berbohong kepada peminat yang selama ini menyokong tanpa henti karier saya.

"Sesetengah orang bercakap saya patut berkahwin dalam usia sekarang manakala ada orang lain kata masih terlalu awal untuk saya menjalankan tanggungjawab sebagai suami.

"Bukan saya serik untuk bercinta lagi setelah mengalami putus cinta ketika berusia 19 tahun. Namun memang belum ada jodoh untuk saya memiliki teman istimewa.

"Entahlah, barangkali jodoh saya dengan orang
Malaysia. Siapa tahu, bukan sebab abang saya juga mendirikan rumah tangga dengan orang Malaysia.

"Sama jugalah halnya dengan bapa dan emak saya," terang Taufik menjelaskan situasi perkahwinan dua negara serumpun yang menjadi amalan terbiasa oleh ahli keluarganya.

Gara-gara dilabel itu dan ini, keluarga pernah mencadangkan Taufik untuk menamatkan zaman solo apatah lagi dia masih belum punya teman wanita istimewa. Ia dilihat bakal menjadi penghalang kepada gosip-gosip liar tentang dirinya kelak.

screen-capture-3wtmk

Pemuda berdarah kacukan Bugis dan India itu memberitahu, dia cukup runsing apabila sering diajukan pertanyaan untuk mendirikan rumah tangga oleh keluarga.

"Ditambah dengan dua adik-beradik saya yang sudah berkahwin dan beranak-pinak maka ada waktunya saya akan berasa tertekan.

"Siapa saja yang tidak mahu membahagiakan hati orang tua. Namun saya masih belum bersedia sepenuhnya walaupun keinginan untuk berkahwin ini memang sudah ada lama.

screen-capture-4wtmk

"Saya sekadar mampu berserah kepada Allah Taala. Kalau ada jodoh datang maka kahwinlah saya. Jangan risau kerana saya akan uar-uarkan kepada pihak media dan peminat," jelas anak bongsu daripada tiga beradik itu sambil tersenyum manis.

Album baru tampil kelainan


Taufik yang pernah membawa pulang anugerah Artis Lelaki Paling Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik 2006 (APM 06) tidak terkecuali berkongsi cerita tentang album keempatnya yang sudah dipasarkan di Singapura sejak penghujung tahun lalu.

Menurut Taufik, dia kini sedang giat mempromosikan album terbaru,
Suria Hatiku yang mengandungi sebanyak 10 buah lagu secara keseluruhannya.

"Tujuh buah lagu dihasilkan sendiri oleh saya antaranya adalah
Suria Hatiku, Nafasku, Petua dan Kau Dan Aku manakala dua lagu yang digubah oleh M. Nasir pula berjudul Citra Suria dan Hey.

"Ken Lim menyumbang sebuah lagu untuk trek pertama iaitu
Gadis Itu. Boleh dikatakan album ini menampilkan sedikit kelainan berbanding album-album terdahulu saya.

"Kalau peminat terutama di Malaysia yang belum mendapatkan album ini pastinya akan terkejut dengan pembaharuan album
Suria Hatiku.

"Album ini memperlihatkan sisi lain saya dan berbentuk sedikit sentimental sebab orang tahu Taufik Batisah selalunya muncul dengan lagu-lagu rancak dan memerlukan saya menari dengan penuh energetik.

"Kini lagu-lagu yang terkandung dalam
Suria Hatiku kedengaran sedikit meleleh. Ia dihasilkan mengikut pengalaman cinta saya, rakan dan keluarga sebelum ini.

"Oleh itu ada rakan-rakan yang takut untuk meluahkan segala masalah yang mereka hadapi kepada saya kerana mereka bimbang saya akan menyelitkan situasi ini ke dalam lagu kelak.

"Paling menarik apabila saya turut menggubah sebuah lagu yang diberi nama
Petua. Ia sebenarnya nasihat yang selalu diberikan oleh keluarga setelah saya melibatkan diri dalam dunia seni.

"Saya lihat album ini cukup bermakna kepada kerjaya Taufik Batisah yang sentiasa dikelilingi oleh individu-individu sentiasa bersikap positif dalam kehidupan masing-masing," tutur Taufik.

Dalam pada itu, anak muda lulusan Diploma Kejuruteraan Marin di Politeknik Singapura tidak terkecuali meluahkan isi hatinya selepas bernaung di bawah syarikat rakaman Malaysia, Suria Records Sdn. Bhd., (SRC) beberapa bulan lalu.

"Saya harap dengan berada di bawah kendalian SRC, saya dapat mempromosikan album dan mengadakan lebih banyak pertunjukan pentas di Malaysia.

"Dalam pada itu, saya juga bercita-cita untuk tinggal lebih lama di negara ini sambil mengenali pihak media tempatan dan mengunjungi tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia.

"Saya mahu peminat mengenali dengan lebih dekat Taufik Batisah kerana sebelum ini saya hanya sinonim dengan penganjuran APM. Kalau APM berakhir maka nama saya mulai tenggelam di Malaysia.

"Saya mengimpikan sinar baru untuk kerjaya seni selepas ini baik di Singapura, Malaysia, Indonesia dan negara lainnya," akhiri Taufik sambil menggenggam impian tinggi melangit.

screen-capture


lime_bullet Back To Newspaper Articles


Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.