What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.
Infiniti: 25 September 2009
Minat produk Apple

BIARPUN sesetengah orang mengatakan produk elektronik yang terdapat di pasaran Singapura jauh lebih canggih berbanding Malaysia, penyanyi berwajah tampan, Taufik Batisah bagaimanapun menepis kenyataan yang disifatkan tidak benar sama sekali itu.
Pemilik nama berdaftar, Muhammad Taufik Batisah itu memberitahu, Singapura merupakan sebuah negara kecil berbanding Malaysia yang memiliki lebih ramai rakyat.
Lantaran itu, tidak wujud sebarang istilah gajet canggih mudah diperolehi di negara kelahirannya. Malah, anak muda berusia 28 tahun itu sempat memperbetulkan persepsi orang ramai yang mengatakan barang berteknologi di Singapura jauh lebih murah daripada Malaysia.
"Pada pendapat saya, Singapura dan Malaysia sama saja. Cuma saya tidak menafikan ada sesetengah gajet yang ada di Singapura masih belum memasuki pasaran Malaysia.
"Perkara sama sebaliknya berlaku apabila Malaysia terlebih dahulu menikmati kecanggihan serta kemodenan sesetengah teknologi berbanding Singapura.
"Ia dianggap sebagai situasi yang normal. Kalau ada rakyat Malaysia yang mahukan gajet canggih, mereka boleh membelinya di Singapura. Masing-masing boleh membeli di kedua-dua buah negara ini tanpa ada sebarang halangan.
"Cuma saya boleh katakan harganya tidaklah serendah seperti yang disangka. Kalau ada perbezaan harga sekalipun, ia bukanlah dalam kuantiti yang besar," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Hotel Quality, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambung jejaka lulusan Diploma Kejuruteraan Marin di Universiti Politeknik Singapura itu, dia pernah dikhabarkan oleh seorang kenalan di Malaysia, ada sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini menggunakan seratus-peratus kecanggihan teknologi.
"Saya difahamkan terdapat sebuah universiti di Malaysia yang menjalankan keseluruhan fungsinya dengan mendapatkan bantuan teknologi moden.
"Apabila ada pelajar yang mendaftarkan diri dan membayar sejumlah yuran untuk memasuki universiti ini maka mereka terus mendapat iPhone dan komputer riba jenama Apple untuk memudahkan pembelajaran.
"Kalau diperhatikan semula, saya rasa Singapura tidak pernah mengamalkan sistem yang hebat ini. Justeru, saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan teknologi Singapura lebih canggih daripada Malaysia.
"Dalam sudut ini, saya lihat ada kebaikan dan kekurangannya. Oleh itu jangan sesekali menilai bahawa kami di Singapura menerima pendedahan meluas terlebih dahulu tentang teknologi berbanding rakyat di Malaysia," luah anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Pemuja barang berteknologi
Berbicara lanjut tentang peranan item berteknologi moden itu, kata Taufik, gajet-gajet yang muncul ibarat cendawan selepas hujan di pasaran itu ada signifikan tersendiri kepada empunya diri mahupun orang lain.
"Saya boleh katakan bahawa gajet sebahagian daripada benda yang perlu ada dalam hidup manusia. Suka mahupun tidak, setiap barang berteknologi tinggi memiliki kepentingan dan manfaat tertentu kepada kita.
"Adakalanya dengan disedari mahupun tidak, gajet sentiasa berada di sekeliling kita. Malah tanpa terduga, kita menggunakan barang berteknologi hampir setiap masa dan keadaan. Baik di rumah, pejabat atau pusat istirehat, kini semuanya menggunakan produk yang berteknologi demi memudahkan aktiviti seharian.

"Dengan dunia yang sifatnya semakin global maka saya percaya satu hari nanti hidup manusia seratus-peratus bakal bergantung dengan teknologi.
"Walaupun ada orang yang meluahkan tanggapan bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung kepada benda yang berkaitan teknologi namun saya masih lihat kebaikannya kepada seluruh insan di dunia ini," kata Taufik sambil mempertahankan hujahnya.
Taufik yang terkenal dengan lagu berjudul Usah Lepaskan jujur memberitahu, dia boleh digolongkan sebagai individu yang memuja barang berteknologi tinggi. Minat itu mula bercambah menjadi ekstrem setelah dia meraih hasil pendapatan sendiri sebagai seorang anak seni.
Kegunaan
Meminati gajet sebelum dia bergelar artis lagi, kini Taufik boleh membeli produk berteknologi yang dihajati demi kepuasan diri yang tidak terhingga.
"Dulu gajet yang saya beli sebelum menjadi artis ialah permainan video biasa yang boleh didapati di mana-mana. Sekarang saya sudah ada duit sikit maka mudahlah saya untuk meneruskan minat ini.
"Sejak menjadi artis, saya mula membeli mainan video Playstation Sony Portable (PSP) dan video kamera. Setiap gajet yang saya beli ada kegunaan masing-masing.
"PSP ini saya gunakan ketika sedang bosan manakala video kamera ini berfungsi untuk merakamkan gambar-gambar menarik sewaktu saya mengembara.
"Komputer riba berjenama Apple ini pula digunakan oleh saya untuk melayari Internet, menghasilkan lagu, membuka laman komuniti Facebook memeriksa emel dan bermacam-macam lagi sebelum tidur.
"Selain itu, saya ada membeli mikrofon, komputer, iPod dan adaptor telefon mudah alih dan pelbagai barang berteknologi lain untuk kemudahan diri," katanya sambil tersenyum.
Cintakan iPhone berbanding BlackBerry
Dalam pada itu, Taufik baru sahaja membeli sebuah telefon mudah alih pintar termoden keluaran Apple iaitu iPhone. Tidak dinafikan, dalam pengguna telefon bimbit lebih cenderung ke arah BlackBerry, Taufik sebaliknya lebih selesa dengan iPhone tersebut.
"Saya melihat fungsi BlackBerry sebagai sebuah telefon bimbit yang selalunya digunakan oleh usahawan. Individu-individu ini memang tidak mampu menghindar tugasan harian mereka tanpa ada perkhidmatan Internet.
"Lagipun sudah terlalu ramai yang menggunakan telefon canggih BlackBerry. Malah ia menjadi fenomena di Indonesia. Saya melihat sendiri ramai penduduk negara itu yang menggunakan telefon mudah alih BlackBerry tanpa mengira usia dan darjat.
"Berbanding di Singapura, telefon jenis BlackBerry biasanya digunakan untuk tujuan kerja. Reka bentuknya yang elegan membuatkan ia sesuai dimanfaatkan oleh orang-orang yang terlibat dalam dunia perniagaan.
"Kalau bercakap tentang fungsi telefon BlackBerry, saya tidak menggunakan perkhidmatan emel setiap masa. Kalau betul-betul hendak periksa mesej atau emel di Internet, saya hanya menggunakan komputer riba atau iPhone," akui Taufik yang memang menggemari jenama Apple.
Back To Newspaper Articles
Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.
