What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.
Ekstra!: 28 September 2009
IDOLA REMAJA
Hip-hip hooray(a)
Taufik dan peminat lebih peka tentang anak-anak di Pertapis

Mereka dipuja dan dipuji kerana mengharumkan nama anak bangsa apabila muncul sebagai juara dalam peraduan adu bakat realiti, Singapore Idol (musim pertama dan kedua). Ramadan lalu, Taufik Batisah dan Hady Mirza tidak melupakan bakti mereka kepada anak-anak di dua rumah tumpangan, Rumah Kanak-Kanak Pertapis dan Darul Ma'wa, kendalian Jamiyah. Penulis Obor menjengah sekitar sambutan raya yang 'diawalkan' di dua rumah tersebut, sempena 'mendaratnya' dua idola ini.
SEIYA sekata, mereka mengenakan seragam ungu ke Rumah Kanak-Kanak Pertapis di Kovan Road, untuk mengiringi Taufik Batisah.
Jika tahun lalu, anggota kelab peminat Taufik, Fiknatic, mengenakan seragam merah, mereka bertukar warna pula, tahun ini.
'Warna ungu ini menceriakan suasana,' ujar Nuraini Jumat, 20 tahun, yang lebih dikenali dengan nama gelaran 'Soul Victory' di kalangan teman-temannya di dada siber.
Temannya, Nur Hafizah Zahari, 19 tahun, yang lebih dikenali sebagai 'Fiza Superstar' pula menambah, sesi itu hanya terbuka kepada 30 anggota Fiknatic yang mengutus e-mel kepada pentadbir kelab tersebut.
Bagi Taufik, ini bukanlah kali pertama beliau beraya bersama kanak-kanak di rumah kebajikan.
Jika dua tahun berturut-turut sambutan raya diraikan bersama adik-adik di Darul Ma'wa, kendalian Jamiyah, beliau kini 'bertukar angin' ke Rumah Kanak-Kanak Pertapis pula dan pada bulan puasa lalu.

'Setiap tahun, kelab peminat Fiknatic akan mengadakan perhimpunan. Bagi Taufik, Taufik lebih suka kalau perhimpunan itu bermakna dan bukan sekadar untuk berbual kosong. Tahun ini, kami mengadakan iftar di Pertapis kerana Taufik mahu menolong ramai orang dan bukan hanya menyokong satu badan sahaja.
'Taufik akur bahawa sebelum ini Taufik tidak berapa tahu tentang Pertapis dan khidmat-khidmatnya tetapi selepas menghadiri taklimat di sini, baru Taufik lebih peka. Perubahan sebegini memang digalakkan kerana ia membantu dalam proses pembangunan diri Taufik.
'Taufik juga mahu memberikan pesanan kepada semua bahawa kita haruslah cuba meluangkan masa bagi mereka yang memerlukan dan bukan sahaja memberi derma semata-mata,' jelas Taufik yang pertama kali beriftar bersama adik-adik yang tinggal dalam sekitaran keluarga kurang bernasib baik.
Rumah Kanak-Kanak Pertapis itu menampung 59 penghuni yang berusia antara empat dengan 18 tahun. Sempena Hari Raya pertama Ahad lalu, hanya lima penghuni yang tidak pulang, sebaliknya meraikan Lebaran mereka di rumah tumpangan ini dengan kakitangan yang bertugas. Yang lain diberi masa kelepasan bersama keluarga selama beberapa hari.
Kebanyakan penghuni di Rumah Pertapis merupakan anak-anak daripada keluarga bermasalah termasuk masalah kewangan, tiada tempat perlindungan, didera atau hidup terbiar. Ada yang dirujukkan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Sukan (MCYS) mahupun mahkamah.
Suasana santai menyelubungi sesi pertemuan Taufik dengan kanak-kanak di situ. Anggota-anggota Fiknatic dan beberapa sukarelawan dan penulis Kelab Obor, Berita Harian, bebas beramah mesra dengan anak-anak ini walaupun dipesan untuk tidak merakam foto mereka atas sebab privasi.
Apakah Taufik terfikir untuk mengadakan sesi pertemuan raya yang berbeza untuk tahun-tahun akan datang?
'Entah ya... Belum terfikir pula nak buat acara bersahur. Sebab Taufik tidur lambat dan biasanya taklah sahur macam ramai orang yang bangun semula sekitar 4 atau 5 pagi.
'Kalau nak buat sesi kebajikan di rumah warga tua pula, saya perlu fikirkan bermacam kaedah lain untuk menghibur mereka. Tentunya, lebih mudah mengusik kanak-kanak dan membuat mereka sama-sama menyanyi dengan kita,' jelasnya.
Sesungguhnya kehadiran Taufik disambut baik kanak-kanak di rumah itu.
Satu demi satu lagu dipesan si anak-anak untuk menghiburkan mereka, baik lagu Kepadanya yang dinyanyikan bersama dua penghuni Rumah Kanak-Kanak Pertapis atau lagu Usah Lepaskan yang membuat bercucuran air mata seorang kanak-kanak lelaki.
Rintihannya memaksa Taufik berhenti separuh jalan tatkala menyanyi dan tersentuh melihat keadaan si kecil itu.
'Taufik rasa serba salah kerana menyanyikan lagu Usah Lepaskan. Semasa menyanyikan lagu ini, Taufik baru sedar yang lagu cinta ini boleh diaplikasikan kepada konteks keluarga. Taufik teringat juga akan Hari Raya pertama yang diraikan tatkala ibu bapa Taufik baru sahaja bercerai,' katanya, pilu.
Taufik kini sibuk mempromosikan albumnya di Malaysia dan dijangka sibuk pada musim Lebaran ini.
Ternyata, album penyanyi, penggubah dan penulis lirik ini disambut baik oleh rakyat Malaysia. Peminat-peminat Malaysia juga telah menjadi temannya di laman Facebook. Laman itu dijadikan pelantar untuk mereka memberi komen kepadanya.
Apabila dah sampai di negara orang ni, adakah Taufik tertekan dek gosip-gosip yang tersebar di dada akhbar dan majalah seberang tambak?
Baru-baru ini, timbul pula kisah beliau mesra dengan penyanyi berambut keriting, Ezlynn, yang mempopularkan lagu Hi Hi Bye Bye.
Kata Taufik: 'Ezlynn datang ke majlis pelancaran album saya. Kemudian, ni lah... kerja media televisyen di sana yang membesarkan gosip itu. Melodi membesar-besarkan isu itu hanya kerana dia datang.
“Tapi, bagi saya, buat apa nak takut sebab saya tak buat salah. Ketawakan saja sebab bendanya tak benar.”
NOSTALGIA LEBARAN
- Hari Raya lalu, Taufik dan abang-abangnya seronok ke rumah ayah mereka di Johor Baharu.
- Lagu raya kegemaran: Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Allahyarham Sudirman)
- Biskut raya kegemaran: Apa saja yang mengandungi coklat.
- Cemilan raya yang disukai: Rempeyek yang ditempah daripada mak ciknya yang tidak lokek kacang tanah dan ikan bilis.
- Kenangan lucu beraya yang payah dilupakan: Ketika saudara-mara memutuskan untuk tidak memberinya duit raya lagi kerana mereka sangka dia lebih tua daripada abang-abangnya kerana dia jauh lebih tinggi. Untuk 'balas dendam', dia habiskan kesemua kuih raya mereka!
- Derma kepada kanak-kanak: Taufik mengeluarkan sekitar $1,000 dari banknya untuk zakat kepada kanak-kanak yang 'merempuh' rumahnya.
- Hidangan mesti ada di pagi raya: Lontong, rendang dan lauk lemak lodeh.
Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.
