What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.
Spektra TV & Hiburan: 25 October 2009

Apabila Taufik Batisah mengumumkan akan menyanyikan lagu ciptaannya sendiri, Seribu Tahun, dalam konsert Simfon Filem Nusantara di Dewan Esplanade pada Ahad lalu, ada penonton berbisik... ”isyyy, itukan lagu Imran Ajmain?”
Namun, penonton yang sama kelihatan terpegun dengan nyanyian Taufik, yang jelas cukup kuat penjiwaannya dan mantap tarikan vokalnya, apatah lagi persembahan itu diiringi Orkestra Melayu Singapura (OMS) yang cukup membuai jiwa. Persembahan Taufik memang memukau.
Rupa-rupanya, bukan penonton tersebut saja yang ‘terkejut’ dengan pengakuanTaufik, bahkan sekumpulan artis Malaysia yang kebetulan turut menonton, bertanya hal yang sama ketika berborak dengan wartawan di luar dewan. Bahkan, wartawan menerima e-mel yang mempersoalkan kebenarannya.
Lagu Seribu Tahun yang dirakamkan Imran bagi album Secara Kebetulan (2007), memang merupakan ciptaan bersama Taufik dan Imran. Populariti Imran meningkat di Malaysia apabila lagu tersebut menjadi lagu tema drama bersiri Kerana Cintaku Saerah. Selain Seribu Tahun, dua penyanyi Singapura berbakat besar itu juga bergabung usaha dalam lagu Usah Lepaskan, yang dirakamkan Taufik, selain lagu Sombong dan Sesuatu Janji.
Ketika dihubungi, Taufik mengakui “hairan” perkara itu dipersoalkan kerana nama pencipta lagu itu terdapat pada kulit album.
“Itulah yang tidak adil dalam persada hiburan kita. Populariti lagu hanya dikaitkan dengan penyanyi, bukan penggubahnya. Saya berusaha menjadi seniman yang sentiasa berkarya. Tetapi nampaknya masih ramai yang hanya tahu saya sebagai penyanyi,” kata Taufik yang menggubah sendiri kebanyakkan lagu bagi albumnya.
Sebagai penggubah lagu dan penerbit, kata Taufik, beliau kini sibuk menyiapkan lagu-lagu untuk teman seperjuangan, Hady Mirza.
Selain itu, lagu-lagunya turut mendapat permintaan daripada beberapa penyanyi Malaysia.
Katanya, beliau memilih lagu Seribu Tahun untuk acara di Esplanade kerana sesuai dengan tema konsert itu keseluruhannya, yang memberi tumpuan kepada lagu-lagu filem dan sinetron. Itulah kali pertama Taufik menyanyikan lagu Seribu Tahun untuk persembahan awam.
Apabila disarankan supaya beliau merakamkan pula lagu itu untuk memberikan versinya yang tersendiri dalam album akan datang, Taufik mengakui berat hati.
“Tak payahlah, kak. Siapa yang nyanyikan lagu itu, tak penting, asalkan saya dapat royalti sebagai penggubah,” selorohnya.
Taufik juga akan mencipta sejarahnya sendiri apabila terpilih untuk membuat persembahan dalam konsert khas bagi meraikan delegasi kumpulan negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), termasuk Presiden Amerika Syarikat, Encik Barrack Obama., pada November ini.
Dalam konsert yang bakal berlangsung di Dewan Esplanade itu, beliau akan membawakan lagu What A Wonderful World, yang dipopularkan oleh Louis Armstrong.
Dengan semakin banyak undangan menyanyi di peringkat nasional dan antarabangsa, Taufik mengakui semakin merasakan perlu menerbitkan album Inggeris yang baru.
“Selepas siapkan album Hady Mirza, saya akan berusaha menghasilkan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris. Saya rasa pasaran saya dalam persada muzik Inggeris masih terbuka luas dan banyak potensinya,” ujar beliau yang dijangka terlibat dalam sebuah muzikal terbitan Dick Lee pada awal tahun depan.
Back To Newspaper Articles
Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.
