headernewspaper
What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.

lime_bullet Taufik featured in Berita Harian

EKSTRA!: 06 Februari 2010
Pahit Manis 10 Tahun Di TV

screen-capture.1jpg
Kongsi Pengalaman: (Dari kiri) Suhaimi Jais, Taufik Batisah dan Najib berkongsi pengalaman menjayakan rancangan televisyen sepanjang sedekad lalu.

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke rancangan stesen Melayu, ternyata meninggalkan kesan kejutan yang berpanjangan. Alahai, siapa yang tidak terkejut kalau dicium seorang 'mak cik' dalam rancangan yang disiarkan secara langsung!

Taufik Batisah masih ingat, bagaimana pada 2005, tidak lama selepas memenangi Singapore Idol, beliau diundang untuk muncul dalam saluran Suria bagi rancangan amal berjudul Ikhlas. Beliau tampil mengenakan pakaian Melayu berwarna merah menyala.

'Taufik masih ingat, semasa tiba bahagian Taufik kena tarik suara, tiba-tiba seorang mak cik muncul di atas pentas dan berdiri di depan. Jadi Taufik kasi isyarat, tunggu sekejap... nak kena tarik suara dulu. Lepas tu, beliau hulurkan salam dan terus Taufik kena cium. Kecoh penonton,' ujar penyanyi itu.

Banyak pengalaman berharga yang ditempuhinya sepanjang enam tahun di kaca televisyen mendewasakan dirinya sebagai penyanyi.

Taufik berkongsi pengalaman tersebut dalam sesi media sempena rancangan Elektra, acara khas sempena sambutan ulang tahun stesen Suria yang ke-10.

Kalau Taufik dicium peminat warga senja, penyanyi seberang, Datuk Siti Nurhaliza, pula mengakui televisyen Singapura turut memainkan peranan dalam pengembangan bakatnya.

Tentu peminat Siti masih ingat, penyanyi itu pernah diberi penghormatan mengendalikan rancangan yang dihoskan beliau sendiri, Bersama Siti, terbitan MYI International.

'Siti masih ingat, dalam satu hari, Siti bersama pihak penerbit kena siapkan sehingga empat episod. Bukan setakat menyanyi, kena juga berlakon dan berkomedi. Sekejap jadi kanak-kanak, sekejap jadi wanita Jepun. Kemudian kena jadi hos, interviu artis-artis jemputan. Bersama penonton pula, Siti kendalikan kuiz. Memang seronok dan mencabar dan Siti amat hargai pengalaman bekerja di Singapura,' ujarnya.

Suhaimi Yusof, antara ikon Suria, pula melahirkan kegembiraannya kerana telah diberi banyak peluang berkarya dan membuat persembahan, termasuk 'berentap' dengan teman hos pesaing, Najip Ali.

'Selalunya Najip dan saya tak pernah bertemu dalam satu rancangan. Saya tengok beliau di TV atau beliau tengok saya di TV. Tetapi jalan tetap dibuka. Akhirnya Najip dan saya 'dikahwinkan' dalam Kpak Bing Bing,' cerita Suhaimi.

Najip sendiri merasakan rancangan-rancangan yang dihasilkan oleh stesen tempatan sudah berjaya menampilkan 'wajah' tersendiri yang membezakan mereka daripada rancangan-rancangan negara jiran.

Ketua Suria, Suhaimi Jais, berkata, dalam melakarkan rancangan Elektra, beliau semampu mungkin mengumpulkan wajah-wajah yang telah menghiasi saluran itu sepanjang sedekad lalu.

'Selain mengembangkan bakat-bakat tempatan, kami juga tidak nafikan peranan yang dimainkan oleh artis-artis dari negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia dalam hiburan tanah air,' ujarnya.

Lebih 60 artis daripada pelbagai peringkat era dan 36 pemain orkestra terlibat dalam rancangan gilang-gemilang yang disiarkan secara langsung malam tadi.
Acara telah dihadiri tetamu terhormat, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Sementara itu, penyanyi undangan dari Indonesia, Anang Hermansyah, dalam sidang tersebut mengingatkan betapa industri hiburan Melayu mampu menjadi lebih teguh apabila ada kerjasama dari negara-negara rumpun Melayu.

'Kita harus mengadakan lebih banyak rancangan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Singapura demi memperkuatkan langkah seniman-seniman Melayu di rantau ini. Saya sangat berterima kasih kepada Singapura kerana selama ini bersikap terbuka menerima kehadiran artis-artis Indonesia. Semoga kerjasama berpanjangan dan diluaskan,' ujarnya.


lime_bullet Back To Newspaper Articles


Copyright © 2008 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.