headernewspaper
What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.

lime_bullet Taufik featured in Berita Harian

Ekstra!: 03 Mac 2010
AnugeraHitz.sg - Iktiraf Warga Muzik Singapura

taufik@BH03032010-a

BILANGAN artis Singapura jelas semakin ramai tetapi yang dapat dianggap benar-benar bermutu dari segi produksi rakaman lagu ternyata masih terhad kepada wajah-wajah yang sama saja.

Ini jelas dilihat daripada senarai calon akhir bagi anugeraHitz.sg, acara penganugerahan pertama yang dikenalkan untuk meraikan industri muzik tempatan.

Daripada 152 penyertaan yang diterima, nama-nama berjaya tersenarai ke peringkat akhir tidak jauh berbeza daripada mereka yang bertanding dalam Anugerah Planet Muzik (APM) bagi kategori tempatan.

Ini termasuklah nama-nama seperti Taufik Batisah, yang mendapat lima pencalonan; Hady Mirza (empat pencalonan); diikuti nama- nama yang sudah mesra dengan APM seperti Imran Ajmain, Syed Amir dan Sleeq.

Rancangan anugeraHitz.sg dianjurkan bersama oleh Mediacorp Suria, stesen radio warna 94.2 FM, Ria, 89.7 FM dan Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass).

Acara penganugerahan sulung ini akan berlangsung pada 3 April dan disiarkan secara langsung dari Teater TV Mediarcop, menerusi saluran Suria dan Stesen Ria.

Naib Presiden bagi Perancangan Melayu, India dan Ekspatriat, Zakiah Halim, dalam sidang akhbar untuk mengumumkan senarai calon akhir anugerah tersebut, melahirkan rasa bangga terhadap perkembangan muzik tempatan, daripada zaman kehadiran mereka tidak disedari di tengah-tengah populariti artis-artis negara jiran, sehinggalah ke saat ini apabila carta hits lagu-lagu popular di radio dikuasai oleh penyanyi tempatan.

Namun, pada masa yang sama, berdasarkan penilaian juri, sementara sebilangan artis menunjukkan kelakonan yang baik, terdapat segolongan artis yang masih ketinggalan jauh dari segi mutu.

Yang ketara, jurang perbezaan itu cukup besar.

'Golongan yang ketinggalan ini, walaupun mempunyai bakat yang baik, perlu dibantu dari segi rakaman seperti kejuruteraan muzik, penyusunan lagu dan mastering yang lebih baik,' ujarnya.

Sebanyak 10 kategori dikenalkan bagi acara tahun pertama ini iaitu Artis baru Terbaik, Duo Kumpulan Terbaik, Artis Terbaik, Duo Kumpulan Terbaik, Penulis Lirik Terbaik, Komposer Terbaik, Lagu Terbaik, Album Terbaik, 3 Lagu Paling Popular dan 3 Artis Paling Popular.

Para juri terdiri daripada wakil- wakil tiga badan penganjur dan personaliti muzik seperti penggubah lagu kelahiran Singapura, Azmeer (atau nama sebenar Azhar Abu Bakar), pengarah muzik Indra Shahrir Ismail dan penulis lirik Hartinah Ahmad.

Selain nama-nama popular seperti Taufik, Hady dan Didicazli, terdapat dua nama yang belum cukup dikenali turut memberi saingan hebat iaitu kumpulan alternatif baru yang dikenali sebagai Diorama, yang mendapat lima pencalonan, dan Shahridzuan Selamat, sebanyak tiga pencalonan.

Syed Azmir, ketika ditemui, berkata beliau tidak menyangka dengan hanya menyertakan satu single, Aku Bukan Sempurna, beliau mendapat tiga pencalonan (Artis Terbaik, Lagu Terbaik dan Artis Paling Popular).

Walaupun sudah biasa diketengahkan di peringkat APM, Azmir berkata beliau amat mengalu-alukan pertandingan di peringat tempatan, bahkan berharap anugeraHitz.sg akan berkembang dan berdiri teguh sehingga menjadi anugerah berpestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) di TV3, yang benar-benar menggambarkan keadaan industri muzik Melaysia.

'Kita kena kuatkan industri muzik kita dulu sebelum bertanding di peringkat serantau,' kata Azmir.

Kumpulan Sleeq, yang dianggotai Syarif dan Alyph, juga gembira kerana pertama kali mendapat pencalonan yang dinailaikan juri kerana akhirnya dapat menyertakan album penuh sendiri.

Sebelum ini, mereka hanya bersaing dan menang di peringkat Popular menerusi singles, yang kemenangannya dicapai menerusi undi peminat.

'Walaupun anugerah ini tidak menawarkan hadiah wang tunai, kami tetap bersyukur sekurang- kurangnya ada usaha mengiktiraf muzik tempatan dengan cara yang betul.

'Tak mengapa kita bermula secara kecil-kecilan kerana jika usaha ini diteruskan, insya-Allah ia akan menjadi lebih mantap dan besar di masa depan,' kata Syarif.

Kumpulan Sound Salvation pula menganggap anugeraHitz.sg sebagai pelengkap kepada skim penganugerahan yang sedia ada untuk golongan seniman dari bidang lain.

'Seharusnya anugerah seperti ini sudah lama diadakan, seperti dalam bidang drama dan sastera. Apabila anugerah dah ada, secara logik kita akan mempunyai lebih banyak wadah untuk pendedahan dan ini amat diperlukan oleh para pemuzik kita untuk mendekati orang ramai. Jadi artis yang tidak ikut serta bertanding, rugi besar.

'Tetapi saya juga berharap, selain mengetengahkan orang yang sama, kita juga memberi ruang kepada pemuzik yang menawarkan kelainanan atau muzik alternatif. Jadi kita dapat melihat kepelbagaian dan perkembangannya dengan jelas.

'Ini penting kerana ia ada sangkut-paut dengan perkembangan masyarakat juga lebih-lebih lagi orang kita banyak yang menceburi bidang seni,' kata penyanyi utamanya, Andry Kamsani.

Sementara itu, untuk menyemarakkan suasana menjelang anugeraHitz.sg, rancangan khas tiga episod bernama Hitz.sg akan diadakan.

Ia akan mula disiarkan pada Sabtu, 13 Mac, 8. 30 malam.

lime_bullet Back To Newspaper Articles


Copyright © 2010 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.