headernewspaper
What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.

lime_bullet Taufik featured Berita Harian

Keluaran Khas
: 01 Mei 2010
Ibu, Kau Inspirasiku:
Artis setempat tidak lupa jasa pengorbanan orang tua

bh01052010

Kaulah Kawan, Kaulah Pendorong: Idola Singapura, Taufik Batisah, tidak pernah segan silu berjalan-jalan bersama ibunya, Cik Normainah Bachok(gambar atas) - Foto Ihsan TAUFIK BATISAH

Tulang empat kerat itu,
Kau gunakan pada setiap waktu
Tanpa mengenal jenuh
Membesarkan aku...

Kasih sayangmu mekar
Sepanjang musim
Walau dimamah bahang mentari
Walau menggunung setebal salji.


Setiap kali menjelang Mei, ramai yang mengambil kesempatan memperingati jasa orang yang melahirkan dan menatang mereka bagai minyak yang penuh.

Ini termasuklah golongan artis tempatan yang sama sekali tidak pernah lupa akan pengorbanan ibu mereka.

Antara yang amat menghormati dan menyanyangi ibunya tidak lain dan tidak bukan ialah Idola Singapura pertama iaitu Taufik Batisah, yang baru-baru ini menang besar semasa AnugeraHitz.sg.

Bagi Taufik, ibunya, Normainah Bachok, 57 tahun, merupakan tulang belakang dalam hidupnya dan beliau tidak pernah mengeluh akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak walaupun jadual hariannya sebagai seorang artis begitu padat.

“Hubungan antara Taufik dengan mak memang akrab, kadangkala seperti seorang kawan.”

“Sekiranya ada perselisihan faham, ia tidak akan mengambil masa yang lama dan kami akan berbaik-baik semula,” jelas Taufik, 29 tahun, anak bongsu daripada tiga adik-beradik.

Setiap kali tiba Hari Ibu, Taufik dan adik-beradiknya akan berkumpul dan belanja ibunya makan.

“Mak saya memang gemar makan ikan, jadi setiap kali kami sekeluarga keluar makan bersama, Taufik akan memesan kari kepala ikan untuk mak,” ujar Taufik, yang juga rajin membawa ibunya beli-belah di Johor.

Namun. bagi seorang lagi penyanyi tempatan, sambutan Hari Ibu cukup berbeza buatnya.

Bagi Zaibaktian atau nama penuhnya, Zaibaktian Abu Bakar, 34 tahun, yang sudah pun berumah tangga dan mempunyai tiaga orang cahaya mata, memperingati jasa baik ibunya tidak perlu ditonjolkan pada Hari Ibu sahaja.

Walaupun tidak lagi tinggal bersama ibunya, Cik Zaiton Mailah, 55 tahun, Zaibaktian tetap menjenguk-jenguk ibunya dan sering bertanyakan khabar.

“Sejak berkahwin, perkara yang paling saya rindui ialah peluang duduk bersembang bersama ibu.

“Saya rindu bergurau senda, berkongsi cerita dan mengadu tentang kehidupan harian saya dengan ibu,” jelas Zaibaktian, yang popular dengan lagu
Lelaki Baru.

Menurutnya, beliau amat kagum dengan semangat kental yang ditonjolkan ibunya, terutama ketika ibunya bergelut dengan penyakit barah payu dara pada 1996.

“Apabila disingkap, waktu itu saya masih lagi di zaman persekolahan.”

“Walaupun beliau sakit, ibu tetap melakukan kerja rumah seperti biasa.”

“Keberaniannya dan ketabahannya mendidik kami adik- beradik memang sesuatu yang tidak ternilai harganya,” ujar Zaibaktian, anak sulung daripada empat orang adik-beradik.

Kini, ibunya sudah beransur pulih dan mampu berbangga dengannya kerana cita-citanya sebagai seorang penyanyi sudah pun tercapai.

Walaupun pada mulanya beliau agak ragu-ragu menceburi bidang nyanyian kerana usianya sudah meningkat, ternyata berkat sokongan ibunya, usahanya tidak sia-sia.

Sememangnya di sebalik kejayaan dan kecemerlangan artis-artis kita, jelas wujud suatu kuasa pendorong, pengasuh dan pengiring yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan anak-anak mereka.

Siapa lagi kalau bukan ibu tersayang!


lime_bullet Back To Newspaper Articles


Copyright © 2010 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.