headernewspaper
What exactly lies beneath the exterior of that cool, calm & composed soulman whom we know as Taufik Batisah? Check out the following sections to learn more about the man.

lime_bullet Taufik featured Berita Harian

Ekstra
: 27 Jun 2010
Bulan Bahasa

Mengapa Kelapan-lapan ‘Duta Bahasa’ Dipilih
Kekuatan tersendiri setiap seorang daripada kelapan-lapan 'ikon' dalam masyarakat Melayu dijelaskan

BH_16540231
ENCIK HAWAZI DAIPI: Beliau menegaskan bahawa Bulan Bahasa adalah satu pengingat kepada kita tentang perlunya bahasa Melayu dikembangkan. Katanya, "kita harus berusaha mempertingkat kebolehan masyarakat kita bertutur atau menulis dengan baik"


MENGAPAKAH seorang penghibur seperti Taufik Batisah wajar dijadikan Duta Bahasa Melayu? Sejauh mana Idola Singapura itu mampu memikul amanah barunya dengan berkesan, sedangkan beliau tampak lebih cenderung berbahasa Inggeris?

Bagaimana pula dengan dua deejay muda, Dyn Norahim dan Zaza Majid, yang mengendalikan program lagu-lagu rok klasik? Sesuaikah mereka dinobatkan gelaran serupa, sedangkan mereka berbual ala Mat Rok dan Minah Rok untuk program popular hujung minggu itu?

Soalan-soalan ini mungkin bermain di minda ramai apabila nama lapan Duta Bahasa diumumkan di upacara pelancaran rasmi Bulan Bahasa 2010 di The Pod, Perpustakaan Negara, semalam.

Namun, Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Encik Hawazi Daipi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2010, memberi jaminan bahawa merekalah golongan muda dan dikenali yang dapat dijadikan rujukan kepada golongan sebaya serta ibu bapa muda agar mampu menggunakan bahasa Melayu sekerap mungkin.

Selain Taufik, Dyn dan Zaza, lima lagi Duta Bahasa yang dipilih adalah wajah-wajah yang biasa dilihat di kaca televisyen seperti koresponden Berita Harian dan mantan pembaca berita TV, Encik Hisham Hasim; pembaca berita dan wartawan penyiar, Encik Riz Sunawan; peguam, Cik Rahayu Mahzam; penyiar ikon, Cik Asmah Laili; dan perundingcara perniagaan, Encik Suhaimi Salleh.

CONTOH TERBAIK DIPERLUKAN

Dalam satu wawancara bersama Berita Minggu, Encik Hawazi, yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), berkata bahawa dalam setiap usaha kemasyarakatan, contoh-contoh yang baik diperlukan.

'Kita perlu mendapat khidmat di kalangan anggota masyarakat yang diketahui dan diakui bertutur bahasa Melayu dengan baik serta mampu mendorong masyarakat. Ada yang berusaha untuk mempelajarinya dan menggalak orang lain agar tidak rasa canggung berbahasa Melayu.

'Duta Bahasa yang dipilih bukan eksklusif. Ada ramai lagi yang layak menjadi Duta Bahasa. Bagaimanapun, buat masa ini, memadailah untuk kami mendapatkan lapan orang untuk menjadi Duta Bahasa,' katanya dalam pertemuan di Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Cik Asmah dan Encik Suhaimi, katanya, adalah warga mapan yang diketahui memanfaatkan bahasa Melayu dalam kehidupan harian.

'Walaupun Encik Suhaimi berpendidikan aliran Inggeris, namun beliau fasih menggunakan bahasa Melayu. Beliau memberikan dorongan bukan sahaja sebagai ayah tetapi karyawan yang tidak canggung berbahasa Melayu,' katanya.

Taufik pula, tambah beliau, terkenal dan disenangi pelbagai lapisan usia. Usaha penyanyi yang biasanya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris itu untuk mempertajam penguasaan bahasa Melayunya wajar diberi galakan.

'Bayangkan jika Taufik turun padang ke sekolah-sekolah dan acara belia. Beliau boleh beri dorongan kepada pelajar-pelajar kita untuk mengambil berat tentang keupayaan mereka berbahasa Melayu. Lagi pun, jika seorang penyanyi itu boleh berbual lancar tanpa digenjotkan dengan kosa kata yang terbatas, dia boleh menjadi penghibur yang lebih baik lagi lebih disenangi,' kata Encik Hawazi lagi.

bh27062010

Konsep 'duta' itu, jelasnya, bukan sesuatu yang baru sebab di kawasan undi beliau di GRC Sembawang, wujud sekitar 80 hingga 100 duta kesihatan yang menyebar pesanan tentang penjagaan kesihatan dan pengesanan penyakit kronik kepada rakan sebaya dan jiran tetangga.

Selain lapan Duta Bahasa yang akan turun padang di beberapa aktiviti Bulan Bahasa, seramai 300 pelajar yang mempunyai kelakonan cemerlang dalam bahasa Melayu juga dilantik untuk tempoh setahun bagi menggalak teman-teman lain bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu secara meluas lagi.

'Saya bersimpati dengan guru-guru bahasa Melayu kita dan fahami tugas mereka bukan mudah. Latar belakang bahasa di kalangan pelajar mereka berbeza daripada latar belakang mereka sendiri.

'Harapan saya, mereka terus cekal membimbing murid mereka untuk gunakan bahasa Melayu sekerap yang boleh termasuk di luar bilik darjah. Tugas membimbing anak-anak mempelajari bahasa Melayu juga tidak harus diletakkan pada bahu guru-guru sahaja. Peluang dan asas harus dibina di rumah,' tambahnya.

KEMPEN DUA TAHUN SEKALI BELUM MEMADAI

Encik Hawazi akur, memang tidak memadai untuk menggalak masyarakat Melayu menggunakan bahasa Melayu secara aktif, hanya pada musim-musim kempen Bulan Bahasa yang diadakan dua tahun sekali.

'Bulan Bahasa adalah satu pengingat kepada kita tentang perlunya bahasa Melayu dikembangkan. Kita harus berusaha mempertingkat kebolehan masyarakat kita bertutur atau menulis dengan baik.

'Hasrat MBMS ialah untuk menggalak Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan badan-badan Melayu untuk mengadakan aktiviti sepanjang tahun.

'Jika dulu, kekerapan bagi beberapa MAEC ialah mengadakan sesi berpantun dan drama, saya lihat trend terkini ialah menganjurkan peraduan penulisan blog dalam bahasa Melayu dan ini diteruskan tahun ini,' katanya.

Fokus Bulan Bahasa tahun ini, kata Encik Hawazi, juga mudah sejajar dengan slogan Bahasa Kita. Gunakanlah. Peluang ingin diberi kepada pengguna bahasa untuk memanfaatkan bahasa Melayu dalam peraduan, persembahan, penyampaian dan penulisan, biarpun tahap penguasaan mereka berbeza.

Terasnya - usah menilai penggunaan bahasa Melayu orang lain dan mematahkan semangat mereka untuk mencuba, tetapi jangan juga merendah-rendahkan keupayaan kita sendiri berbahasa Melayu. Belum cuba, belum tahu.

lime_bullet Back To Newspaper Articles


Copyright © 2010 TaufikBatisah.net All Rights Reserved.